Padah mengelar leher rakannya sehingga mati 4 tahun lalu kerana hutang berjumlah RM300, seorang buruh Filipina dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Kejadian tersebut berlaku pada 24 April 2018 antara jam 1.20 petang hingga jam 1.40 petang di simpang masuk Taman Warisan, Lahad Datu.
Menurut Awani, ketika kejadian lelaki bernama Robin itu menaiki kereta bersama rakannya, Fazrin Ibrahim dan duduk di tempat duduk belakang. Robin kemudian secara tiba-tiba bertindak mengelar leher mangsa yang sedang memandu beberapa kali dari belakang menggunakan parang jenis barong .
Akibat daripada itu, leher mangsa hampir terputus dan maut di lokasi kejadian. Adik ipar mangsa yang ketika itu tertidur di tempat duduk penumpang bahagian hadapan dilaporkan turut mengalami kecederaan akibat terkena libasan parang.


Mahkamah Tinggi Tawau hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh rakannya itu. Hakim Dr. Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman terbabit kepada Robin atau nama penuhnya, Robin Radjani Saih berusia 49 tahun selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Lim dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan elemen pembunuhan yang melangkaui keraguan munasabah. Pendakwaan terhadap Robin dibuat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan telah memanggil seramai 9 orang saksi termasuklah saksi utama iaitu adik ipar mangsa yang kini berusia 11 tahun dan turut alami kecederaan kekal hilang tiga jari di sebelah tangan itu.
Baca: Kes Pembunuhan Datuk Ketua ‘Geng 24’: Selepas 4 Tahun, Pengawal Peribadi Dihukum Gantung Sampai Mati

