Untuk menurunkan berat badan, pelbagai kaedah telah dikongsikan oleh orang ramai seperti mengurangkan pengambilan kalori, perbanyakkan bersenam dan juga mendapatkan tidur yang secukupnya. Dalam bahasa mudahnya, usaha yang keras perlu dilakukan untuk mendapat berat badan yang ideal.
Baru-baru ini, pengkaji di negara barat mendakwa ‘Diet 5:2’, iaitu puasa secara berselang-seli sebanyak dua hari dalam seminggu merupakan salah satu kaedah mudah untuk menurunkan berat badan dan disukai oleh orang ramai.
Dalam ‘Diet 5:2’ itu, kaum wanita disarankan untuk mengambil kalori sebanyak 500 kalori, manakala lelaki pula 600 kalori. Puasa sebanyak dua hari ini pula perlu diikuti dengan penjagaan makanan selama baki lima hari tersebut.

Perkara ini diakui sendiri oleh Katie Myers Smith, seorang ahli psikologi kesihatan bertauliah dan penyelidik kanan di Queen Mary University of London dalam satu kenyataan.
“Di sini kami telah dapat memberikan hasil pertama mengenai keberkesanan nasihat diet 5:2 yang ringkas dalam suasana kehidupan sebenar.”
“Kami mendapati bahawa walaupun Diet 5:2 tidak lebih baik daripada pendekatan tradisional dari segi penurunan berat badan.”, ujar Katie.
Jelas Katie, meskipun kaedah diet secara tradisional lebih memberi kesan yang cepat untuk menurunkan berat badan, namun ‘Diet 5:2’ lebih disukai oleh pengguna kerana ia lebih mudah dan menarik.
Beliau turut menasihati para doktor agar menyarankan Diet 5:2 kepada para pesakit sebagai kaedah untuk mendapatkan berat badan yang ideal.
Kajian terhadap 300 individu obes
Satu kajian telah dilakukan terhadap 300 individu obes di London. Para peserta diberikan dua pilihan, sama ada untuk mengikuti Diet 5:2 atau pendekatan yang lebih konvensional, dengan mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan kandungan gula dan lemak.
Hasil kajian mendapati individu yang mengamalkan Diet 5:2 berjaya mengurangkan berat badan lebih banyak berbanding mereka yang mengamalkan diet secara konvensional.

Malah, 18 peratus daripada peserta yang mengamalkan Diet 5:2 berjaya mengurangkan sekurang-kurangnya 5 peratus berat badan mereka, berbanding peserta yang mengamalkan diet konvensional yang hanya 15 peratus daripada mereka berjaya mengurangkan jumlah berat yang sama.
Kredit: CNN
BACA: Kajian: Lelaki Pertengahan Umur Yang Tak Mampu ‘Push Up’ 10 Kali Ada Risiko Penyakit Jantung

