Cap jari telah menjadi data biometrik yang paling banyak digunakan di dunia.
Daripada membuat kad pengenalan sehinggalah nak unlock telefon pintar, semuanya kini memerlukan cap jari seseorang.
Tapi, macam mana pula kalau ada manusia dalam dunia ni yang dilahirkan tanpa cap jari?
Bunyinya tak masuk akal tapi itulah realiti kehidupan yang harus dihadapi sebuah keluarga dari Bangladesh.
Hanya kaum lelaki dalam keluarga yang terkesan

Apu Sarker, 22, tinggal bersama keluarganya di sebuah kampung di Rajshahi, Bangladesh. Apu, yang sebelum ini pernah bekerja sebagai pembantu perubatan berkata, dia, adik, bapa dan datuk mempunyai penyakit genetik yang mengakibatkan mereka tidak mempunyai cap jari.
Penyakit genetik itu adalah sangat rare. Cuma beberapa keluarga sahaja dalam dunia ni yang direkodkan mempunyai masalah sama.
Menurut Apu, pada zaman datuknya, hal itu bukanlah satu masalah yang besar.
Namun begitu, apabila dunia semakin membangun, kaum lelaki dalam keluarga Apu mula merasakan penyakit mereka itu sebagai satu masalah.

Pada tahun 2008, negara Bangladesh telah memperkenalkan sistem kad pengenalan nasional untuk semua orang dewasa dan pangkalan datanya memerlukan cap ibu jari.
“Petugas kerajaan tak tahu macam mana nak bagi ayah kad pengenalan. Akhirnya, dia terima kad pengenalan yang tertera ayat ‘Tiada Cap Jari’,” kata Apu.
Kata Apu lagi, bapanya sekali lagi berdepan halangan kerana penyakit genetik itu pada tahun 2010 apabila negara itu mewajibkan penggunaan cap jari bagi mendapatkan pasport dan lesen memandu.
Setelah beberapa kali mencuba, bapa Apu, Amal Sarker akhirnya berjaya memperoleh pasport dengan menunjukkan sijil perubatan yang tertera penyakit genetik dialaminya.
Bagaimanapun, Apu berkata, bapanya tidak pernah menggunakan pasport itu kerana takut berdepan masalah lagi di lapangan terbang.
Bawa resit pembayaran yuran lesen bila bawa kenderaan

Sebagai seorang petani, Amal Sarker menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama.
Walau bagaimanapun, bapa itu mengaku dia tidak pernah mendapat lesen memandu.
“Saya dah bayar yuran dan lulus ujian. Tetapi, mereka tidak boleh keluarkan lesen kerana saya gagal memberikan cap jari,” katanya.
Tambah Amal, dia akan membawa resit pembayaran yuran lesen bersama setiap kali dia menunggang motosikal. Namun begitu, cara berkenaan tidak menjamin dirinya ‘terselamat’ setiap kali ditahan polis.
“Saya pernah disaman dua kali walaupun sudah menjelaskan situasi kepada pegawai polis. Mereka sangat keliru ketika meneliti jari saya. Tapi, saman tetap dikeluarkan. Ia selalu menjadi pengalaman yang memalukan,” kata Amal.

Masalah yang dilalui keluarga Sarker di Bangladesh ni tak berakhir begitu saja.
Pada tahun 2016, kerajaan Bangladesh telah mewajibkan data cap jari dimasukkan ke pangkalan data nasional bagi tujuan membeli SIM card telefon bimbit.
Menurut Apu, permohonannya untuk membeli kad sim ditolak kerana penyakit genetiknya itu.
“Keluarga kami terpaksa menggunakan SIM card atas nama ibu,” kata Apu.
Dikenali sebagai Adermatoglyphia
Memetik BBC, kondisi unik yang dialami keluarga Sakrer ini pertama kali dikenali ramai pada tahun 2007 apabila seorang dermatologist Switzerland, Professor Peter Itin dihubungi mengenai seorang wanita yang mengalami masalah untuk masuk ke Amerika Syarikat susulan tidak mempunyai cap jari.
Setelah diperiksa, Professor Peter Itin mendapati wanita lewat 20-an itu merupakan ahli kelapan dalam keluarganya yang turut mempunyai penyakit genetik sama.
Sumber: BBC

